Istidraj
Apakah dia istidraj itu?
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu
tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Rasullulah s. a. w.
bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada
hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu
telah diistidrajkan oleh Allah SWT."
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru
dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya
adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.
Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian
di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan
berpegang teguh pada agama Islam. Tetapi bagaimana dengan ada orang yang
sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa
bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang
lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan
bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak
pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia
boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak t akut mati?
Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai.
Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi
Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi
tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan
semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan
ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia
merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang
beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli,
sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah
beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu
boleh kaya macam aku, katanya sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah
memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan
semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul
æIbad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah
batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak
membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap,
anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia
akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba
hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun
tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu
sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati
juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi
dengan nikmat itulah Allah binasakan dia. Namrud, yang cuba membakar Nabi
Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah,
akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam
lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci
gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia
ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi
kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya
binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah
segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan
orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan
oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah
bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta
mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang
besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan
untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu
kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.
Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup
kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat
yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya
tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.
Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan
ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang
diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan
hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia
dan akhirat.